Tangan budak 7 tahun patah tersepit rantai besi motosikal, saksikan video…

ALOR SETAR: Muhd Qayyuumm Sabri, 7, si bongsu dari tujuh adik-beradik memakai jaket saiz besar milik salah seorang abangnya.

Berhasrat membeli nasi kandar kegemarannya di restoran dua kilometer dari rumahnya di Flat Simpang Empat Kuala, dia membonceng motosikal Demak Evo 110cc yang ditunggang ibunya Azizah Awang, 44.

Melalui video yang dirakam sistem kereta milik pemandu di belakang motosikal tersebut, lengan jaket yang terjuntai dipakai Muhd Qayyuumm berterbangan ditiup angin sebelum masuk dalam rim belakang dan tiba-tiba tersangkut pada rantai besi motosikal.

Kejadian yang berlaku sekitar 1.30 petang itu di Jalan Simpang Kuala, Pekan Simpang Kuala, Alor Setar pada Ahad itu menunjukkan Muhd Qayyuumm turut ditarik jaketnya sehingga terjatuh di jalan raya.

Motosikal yang dipandu ibunya tidak stabil dan segera diparkir.

Ketika itu mujur tiada kereta berada dekat di belakang motosikal dinaiki dua anak-beranak itu.

Tangan kiri Muhd Qayyuumm tersepit pada bahagian rantai dan jejari roda motosikal terbabit.

Orang ramai di tempat kejadian segera membantu Muhd Qayyuumm.

Memetik Kosmo pada Selasa Azizah berkata, “jaket dipakai Muhd Qayyuumm tersangkut pada rantai besi motosikal sebelum tangan kiri anak saya itu turut tertarik ke arah tayar yang sedang berpusing.”

Penguasa Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohd Naim Mat Jaaffar dipetik Bernama berkata, panggilan kecemasan diterima daripada orang awam pada 1.58 tengah hari dan mereka tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kita dapati tangan mangsa berjaya dikeluarkan orang awam.

Mangsa yang cedera diserahkan kepada ambulans dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

Sebuah jentera dengan 5 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja terbabit dalam operasi tersebut. – Sarawakvoice