Dua wanita cedera muka, patah paha selepas Perodua Axia bertembung Hilux di Slabi, Tatau

TATAU: Dua individu cedera apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran Slabi, Jalan Tatau Selangau, dekat sini semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.44 petang dan sebuah jentera dan kenderaan utiliti dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau.

“Setiba di lokasi 42 minit kemudian, pasukan mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu pacuan empat roda Toyota Hilux bertembung dengan kenderaan Perodua Axia.

“Terdapat empat mangsa dalam kenderaan Perodua Axia, dengan tiga daripadanya berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

Seorang daripada mereka, iatu mangsa wanita mengalami cedera pada bahagian muka dan diserahkan kepada pasukan paramedik sebaik mereka tiba di lokasi.

“Secara berhati-hati, pasukan kemudian mengeluarkan seorang lagi mangsa wanita yang masih berada dalam kenderaan Perodua Axia tersebut, dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba.

“Mangsa mengalami kecederaan patah paha kanan dan tidak dapat bergerak.

Disebabkan menunggu lama untuk ketibaan bantuan ambulans kedua, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital oleh anggota keluarganya sendiri dengan menggunakan kenderaan persendirian.

Kes diserahkan kepada pasukan polis trafik. – Sarawakvoice