Sumber air segar dari empat empangan untuk tangani krisis air di Sarawak – Abang Jo

MUKAH: Krisis air yang dialami oleh kawasan-kawasan luar bandar, pedalaman dan pesisir di negeri ini akan dapat diatasi menerusi pembekalan air terus daripada takungan empangan yang ada di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam berkata, Kabinet Negeri secara keseluruhan telah bersetuju dengan pendekatan di luar kotak itu, dan akan melantik pihak perunding untuk melakukan kajian menyeluruh.

“Konsep kita adalah menyedut air dari Empangan Hidrolektrik Batang Ai, Bakun, Balleh dan Murum dan menyalurkannya kepada loji rawatan yang berdekatan, sebelum diagihkan ke seluruh negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Kaul di sini.

Abang Johari menjelaskan, projek ini akan menelan biaya hingga berbilion ringgit, namun krisis air ini tidak dapat dibiarkan terus berlaku.

“Perlu ada Pelan Induk untuk mengatasinya, terutama memastikan sumber air dirawat terlebih dahulu sebelum dibekalkan ke kawasan luar bandar dan pesisir.

Kata Abang Jo, Sarawak sememangnya memiliki banyak sungai.

“Namun untuk tempoh yang panjang, ia mungkin berhadapan isu pencemaran sama ada oleh bahan kimia mahupun aktiviti perladangan.

“Sungai Koyan di Belaga misalnya, kini telah bertukar kekuningan dan mendatangkan masalah kepada masyarakat di Sungai Asap, biarpun airnya telah dirawat.

Oleh kerana itu katanya, kerajaan hadir dengan kaedah alternatif ini memandangkan air di takungan empangan tidak tercemar selain dipantau rapi oleh pihak Sarawak Energy Berhad.

Sejajar dengan pilihan tersebut, grid salur paip baharu akan dibina di seluruh negeri dan perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan kos meningkat.

Tegasnya lagi, jika tidak ditangani sekarang juga, krisis ini akan terus berlanjutan dari tahun ke tahun dan menjadi janji basi setiap pilihan raya.

“Ia seharusnya dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat tetapi rakyat tidak dapat menunggu.

“Saya akan mendapatkan formula terbaik untuk Bank Pembangunan Sarawak membiayainya.

“Kita boleh dapatkan pinjaman 30 ke 35 tahun untuk tujuan ini,” jelasnya lagi.

Bank Pembangunan Sarawak dijangka beroperasi dalam tempoh enam bulan. – Sarawakvoice