Rumah panjang di Long Seridan musnah dijilat api petang semalam

MARUDI: Sebuah rumah panjang musnah dalam satu kebakaran di Long Seridan dekat sini petang semalam.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, insiden berkenaan dimaklumkan kepada pihaknya sekitar jam 5.15 petang semalam.

“Pasukan Forensik Bomba daripada Zon 6 Miri dan Balai Bomba dan Penyelamat Marudi telah dimaklumkan dan bantuan Unit Udara diaktifkan untuk menggerakkan bantuan, siasatan, serta penghantaran bantuan bekalan makanan.

Jika menggunakan laluan biasa, perjalanan ke lokasi hanya menggunakan pesawat domestik komersial pada setiap hari Khamis dan Sabtu.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, kebakaran ini melibatkan rumah panjang tujuh pintu dan sebuah rumah persendirian.

“Kesemuanya musnah seratus-peratus kecuali pada bahagian bilik air dan rumah jana kuasa di bahagian belakang.

Katanya, lebih 70 penghuni terjejas akibat tragedi ini, namun kebanyakannya berada di Miri kerana menghadiri aktiviti Hari Keluarga.

Semasa kejadian, kebanyakan mangsa tidak sedar bahagian atas telah terbakar kerana selepas balik sembahyang, penduduk akan duduk di bahagian dapur untuk istirahat.

Setakat ini kata Ling Hii, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. – Sarawakvoice