Remaja merokok, ponteng sekolah dan judi isu serius di Asajaya – Rohani

ASAJAYA: Remaja merokok merupakan tiga isu utama yang dikenal pasti perlu diberi perhatian di kawasan Asajaya, dekat sini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, berdasarkan kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) di kawasan tersebut, 43.5 peratus responden berhadapan isu tersebut, manakala masing-masing 13 peratus ponteng sekolah dan perjudian.

“Sehubungan itu, kita mewujudkan Program Pemerkasaan Keluarga dan Komuniti (Face), yang memberikan tanggungjawab kepada ‘family champion’ atau teraju keluarga yang dilantik dalam komuniti untuk melakukan intervensi secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Antara jabatan dan agensi terlibat termasuklah Jabatan Pendidikan Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),” katanya selepas merasmikan Face Fasa Dua di sini semalam.

Rohani memberitahu, family champion boleh dalam bentuk individu perseorangan atau sekumpulan jawatankuasa yang sedia wujud dalam komuniti.

“Ini termasuk persatuan penduduk, rukun tetangga, dan sukarelawan yang akan memegang tanggungjawab dalam intervensi salah satu daripada lapan domain kesejahteraan keluarga.

“Lapan domain tersebut ialah hubungan keluarga, keluarga dan komuniti, ekonomi keluarga dan keselamatan keluarga selain kesihatan keluarga, keluarga dan agama/kerohanian, perumahan dan persekitaran serta keluarga dan teknologi komunikasi.

Kesemua domain ini katanya, selari dengan IKK dalam mengukur tahap kesejahteraan keluarga Malaysia.

“IKK Nasional pada 2016 mencatatkan 7.33 daripada skala 10 manakala skor negeri Sarawak mencatatkan 7.09, dengan dua domain terendah ialah perumahan dan persekitaran serta keluarga dan teknologi komunikasi.

Face diperkenal untuk memberi fokus kepada pemerkasaan keluarga dan komuniti sebagai langkah membangunkan model pengukuhan keluarga dan komuniti setempat.

Asajaya merupakan komuniti ke-16 terpilih bagi pelaksanaan Face, daripada 19 komuniti terpilih di seluruh negara.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak merangkap Adun Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. – Sarawakvoice