Regata Subis beri impak positif kepada ekonomi dan pelancongan kawasan Subis

BEKENU: Penganjuran Regata Subis 2017 penting untuk membawa impak positif kepada penjanaan ekonomi penduduk setempat, kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya, ia juga menarik kehadiran pelancong asing.

“Menerusi Subis Kitchen dan gerai-gerai jualan semasa regatta berlangsung, pelbagai produk lokal dapat diketengahkan,” katanya yang turut menyifatkan penganjuran ini sebagai medium rakyat setempat untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum.

Ia juga menggalakkan penduduk di kawasan Subis ini menjalinkan kerjasama erat, terutamanya dalam mengadakan program kemasyarakatan.

Awang Tengah mewakili Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg merasmikan pembukaan Regata Subis 2017 di Tebingan Sungai Sibuti di sini.

Tegasnya lagi, kawasan Bekenu dan Niah turut memiliki banyak tarikan pelancongan seperti Taman Negara Gua Niah, Pantai Tusan dan Pantai Bungai yang mempunyai keindahan alam semulajadi yang mengagumkan.

“Ketika ini, proses naik taraf kemudahan prasarana seperti di Pantai Bungai telah memperoleh kelulusan peruntukan RM5 juta dan kerajaan bersedia membantu menggalakkan kemajuan pembangunan sektor pelancongan di kawasan tersebut.

Awang Tengah juga turut menyeru rakyat setempat menyokong hasrat Ketua Menteri untuk membangunkan ekonomi digital di Sarawak dengan mempersiap diri dengan pengetahuan dalam aplikasi digital seperti internet.

Dengan adanya kemudahan ini, ia akan dapat meningkatkan ekonomi mereka melalui pemasaran produk tempatan menerusi internet ke pasaran dunia.

Awang Tengah turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30 ribu kepada jawatankuasa penganjur Regatta Subis sebagai sokongan untuk menjadikan acara ini sebagai medium pengukuh perpaduan dan keharmonian kaum.

Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang, Menteri Muda Solidariti Sarawak Rosey Yunus dan Adun Lambir Ripin Lamat. – Sarawakvoice