PKR belum buat keputusan hubungan dengan Pas

BUTTERWORTH: Meskipun usul memutuskan hubungan dengan PKR telah diterima dalam Muktamar Pas, PKR tetap akan menunggu keputusan Majlis Syura Ulama parti Islam itu.

PKR akan hanya mengambil tindakan sewajarnya apabila majlis tertinggi Pas memuktamadkan usul berkenaan, kata Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen PKR Pulau Pinang 2017 di sini, semalam.

Untuk beberapa bulan lalu pemimpin akar umbi Pas mendesak agar parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR kerana dianggap tidak mendukung perjuangannya untuk menegakkan Islam, serta bekerjasama dengan parti serpihan, Amanah dan DAP.

“Kita tunggu dulu apa kata Majlis Syura, baru kita buat keputusan,” kata Wan Azizah.

Penganalisis politik berkata, tanpa Pas dalam Pakatan Harapan, peluang Barisan Nasional untuk menang dalam pilihan raya umum ke-14 adalah cerah. – Sarawakvoice