Cadangan Pembinaan ABM di Sarawak Bantu Ketengahkan Bakat Muda

PETALING JAYA: Perancangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menubuhkan Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Sarawak dapat melahirkan lebih ramai bakat muda dari negeri itu serta dari negeri jiran, Sabah.

Timbalan Presiden BAM, Tan Sri Abdul Aziz Hussain berkata penubuhan akademi itu menjadi salah satu usaha BAM untuk memperluaskan program pencarian bakat bagi menambah jumlah bilangan pemain muda di negara ini.

“Untuk mencari (lebih ramai) bakat (berpotensi) di Sarawak yang sebesar Semenanjung (Malaysia)  bukannya mudah tetapi kita yakin Sarawak dan Sabah mempunyai bakat-bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM ke-72 di Hotel Dorsett, Subanga, dekat sini,  semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz, yang juga Presiden Persatuan Badminton Sarawak, berkata  kekangan kewangan menjadi faktor utama pemain dari Sabah dan Sarawak berdepan masalah untuk menjalani latihan di Kuala Lumpur.

Justeru, beliau yakin penubuhan ABM di Sarawak dijangka dapat mengatasi masalah tersebut, sekali gus memantapkan program pembangunan di peringkat akar umbi.

Abdul Aziz menjelaskan penubuhanakademi di Sarawak turut memberikan peluang kepada pemain-pemain muda dari Sabah untuk menjalani latihan di akademi berkenaan tanpa perlu menjalani latihan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau berharap pemilihan beberapa pemimpin baharu dalam BAM diharap dapat membantu negeri Sarawak untuk menambah barisan kejurulatihan di negeri berkenaan yang kini hanya mempunyai seorang pegawai  eksekutif dan dua jurulatih bagi melatih bakat-bakat baharu di negeri berkenaan.

Terdahulu, Abdul Aziz yang dipilih sebulat suara oleh ahli majlis BAM sebagai timbalan presiden badan induk itu, menyatakan kesediaan beliau untuk berganding bahu dengan Mohamad Norza untuk memantapkan skuad badminton negara bagi meraih keputusan cemerlang di pentas antarabangsa. Bernama