Pakatan Harapan mahu guna satu logo hadapi PRU14

KUALA LUMPUR: Sekiranya permohonan menggunakan satu lambang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang ditolak, Pakatan Harapan mempunyai alternatif menggunakan pendekatan sendiri mendekati pengundi.

Memetik laporan Malaysia Dateline pada Khamis, Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata, pendekatan menggunakan satu logo Pakatan Harapan dipersetujui pimpinan di peringkat pusat.

Justeru, Pakatan Harapan yang mempunyai empat komponen parti mengemukakan permohonan mendaftarkan badan gabungan itu dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Bercakap dalam ceramah di Jalan Yaakubiah, Kota Bharu, Wan Rahim berkata, Pakatan Harapan sedia menggunakan strategi sendiri berkaitan penggunaan satu logo sekiranya permohonan ditolak RoS.

Pakatan Harapan sebelum ini sepakat menyertai PRU14 dalam satu pasukan yang mempunyai satu logo, satu manifesto dan satu calon bersama.

Selepas mendapat kelulusan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada minggu hadapan, Pakatan Harapan sedia didaftarkan secara rasmi kepada RoS mengandungi logo, perlembagaaan dan struktur lengkap. – Sarawakvoice