Setiausaha Akhbar Ketua Menteri nafi wujud BR1S, trol yang kelirukan rakyat Sarawak

KUCHING: Meski sedar ia berbentuk trol, Pejabat Ketua Menteri Sarawak semalam terpaksa membuat penafian terhadap kononnya wujud program yang dinamakan Bonus Rakyat Sarawak (BR1S).

Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Ambrose Cheng memberitahu, muat naik status yang ditularkan di media sosial itu adalah palsu.

“Pengumuman itu tidak benar, palsu dan berniat jahat,” katanya semalam.

Katanya, biarpun berbentuk trol, namun ia boleh mengundang salah tanggap, kerana kebanyakan pengguna sosial hanya membaca tajuk dan seimbas pandang akan maklumat yang ditular.

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai tidak percaya akan hebahan palsu tersebut.

Dalam tular tersebut, penulis yang tidak bertanggungjawab mendakwa Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah melancarkan program BRIS untuk membantu rakyat Sarawak menyambut ketibaan bulan Ramadan.

BR1S diberikan sebanyak RM750 untuk semua rakyat Sarawak sahaja yang berumur 16 hingga 55 tahun dengan pemegang kad pengenalan.

Tulis tular itu lagi, permohonan dibuka hingga 29 April 2017. – Sarawakvoice