Piala Asia: Malaysia tolak permohonan Pyongyang, mahu gelanggang berkecuali

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bertegas mahu perlawanan sulung kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara diadakan di venue berkecuali pada 8 Jun ini.

Keputusan itu sekali gus menolak permohonan Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk meneruskan aksi itu di Pyongyang.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan pagi ini yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali dan dihadiri Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Setiausaha Bahagian Asia Timur Kementerian Luar, Datuk S Ganeson.

“Selepas perbincangan, Datuk Lokman yang mempengerusikan mesyuarat pagi tadi memutuskan untuk bersetuju dan mengambil maklum akan pandangan serta ulasan daripada Kementerian Luar yang ketegangan geopolitik antara Korea Utara dan negara lain semakin meruncing.

“Sehubungan itu, mesyuarat berkenaan bersetuju perlawanan tersebut tidak diadakan di Pyongyang, tetapi di gelanggang berkecuali.

“Hasil keputusan tersebut juga akan dibawa maklum kepada AFC untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

PRKFA sebelum ini memutuskan tidak mengemukakan cadangan venue berkecuali, sebaliknya menghantar surat kepada AFC bagi mengekalkan Pyongyang sebagai venue perlawanan pertama itu dengan jaminan keselamatan.

Minggu lepas, AFC menghantar surat kepada FAM untuk mengetahui status terkini hubungan diplomatik Malaysia dengan Korea Utara, sebelum ia dirujuk kepada Kementerian Luar dan Kementerian Belia dan Sukan.