Kuching ke Damai – laluan perintis LRT Sarawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam mengulangi pendiriannya mahu Sistem Aliran Transit Ringan (LRT) yang dicadangkan di Sarawak akan beroperasi dalam tiga tahun lagi.

Menurutnya, beliau mengharapkan fasa pertama projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh tersebut dengan laluan perintis melibatkan laluan utama Kuching dan Damai, sebelum dipanjangkan ke Lundu dan Sematan serta Serian dan Samarahan.

“Kita buat dari kawasan tengah dahulu, kerana hendak melihat dan mengkaji harga,” katanya ketika menjawab soalan media sempena 100 hari pelantikannya sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Apabila ada LRT katanya, akan ada stesen keretapi elektrik yang dan di berhampiran stesen ini, kerajaan akan bangunkan pula kawasan perumahan di luarnya.

“Ia akan menjadi tumpuan kerana kita telah menyediakan pengangkutan awam.

” Untuk rumah di luar lingkungan bandar ini, harganya akan lebih murah. Jadi kita akan dapat mencipta bandar baharu.

“Apabila ini berlaku, populasi tidak akan tertumpu di Kuching sahaja dan ini dapat mengelakkan kepadatan.

Kerana itu jugalah katanya, projek ini perlu dilaksanakan seawal mungkin ketika harga tanah masih lagi murah dan dapat dikawal.

“Dengan adanya sistem pengangkutan awam ini, maka kesesakan jalan yang dialami kini akan dapat ditangani.

“Kalau tidak, kita akan menjadi seperti Kuala Lumpur, dengan turun kerja seawal 5 pagi dan balik rumah hampir tengah malam. Tiada masa berkualiti untuk keluarga,” katanya lagi.

Tambahnya, walaupun menerima pelbagai kritikan, terutamanya dalam media sosial, beliau tidak akan berganjak.

“Saya akan tunaikan apa yang saya kata,” katanya lagi.

Projek ini dijangka bermula seawal tahun depan, setelah Unit Perancang Negeri menyiapkan kajian fisibiliti serta mengenal pasti laluan.

Abang Johari pada minggu lalu dan sebelumnya telah mengadakan lawatan kerja ke China dan United Kingdom, dan antara tempat yang dilawatnya ialah kilang pengeluar keretapi elektrik serta jabatan pelaksananya. – Sarawakvoice