BN Sarawak yakin tawan lebih 25 kerusi Parlimen

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak yakin dapat menyapu bersih lebih 25 kerusi Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.

Pengerusi BN negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, berdasarkan prestasi cemerlang pada Pilihan Raya Negeri yang lalu, impian itu bukan mustahil untuk dicapai.

“Kita yakin pengundi Cina akan kembali kepada kita, kerana kita mempunyai dasar yang sesuai dengan mereka.

“Dan kerana itu mereka memberikan sepenuh sokongan,” katanya ketika menjawab soalan media sempena 100 hari pelantikannya sebagai Ketua Menteri Sarawak di sini, petang semalam.

Abang Johari yang mengangkat sumpah pada 13 Januari lalu berkata, visinya yang jelas dan komitmennya untuk mewujudkan kerajaan yang bersih, bebas rasuah, mampu memberikan keyakinan kepada masyarakat Cina untuk kembali menyokong BN.

Malah komitmen Team Adenan menjayakan pembangunan mesra rakyat sebelum ini turut membantu dalam memberikan impak kepada pola pengundi.

Menjawab soalan lain, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu mengakui bahawa dia turut terkesan dengan perkembangan politik yang berlaku di Semenanjung.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku di Semenanjung? Saya tidak tahu apa masalah sebenarnya di sana.

“Tetapi yang penting, kita kongsikan kepada mereka aura positif dan apa yang bagus untuk negara kita,” tegasnya.

Kerana itu katanya, Sarawak mengharamkan tokoh-tokoh ekstremis dari menjejakkan kaki ke negeri ini, seperti Jamal Mohd Yunus, Ibrahim Ali dan beberapa pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Berdasarkan perkembangan terkini, apa yang berlaku dari sudut politik (di Semenanjung), itu hal merekalah.

“Macam mana kita hendak mengajar mereka?

“Asal Sarawak sahaja (tidak terpengaruh). Politik kita betul…. itu sahaja kita mahu. Setakat ini politik Sarawak baik. Kita ada budaya kita pun. Kita sangat mesra.

Kerana faktor itulah katanya, beliau yakin Sarawak akan kekal sebagai “deposit tetap” BN.

“Kita akan menyumbang kerusi yang besar di Parlimen.

“Malah deria keenam saya mengatakan bahawa kita akan memberi lebih daripada 25 kerusi,” tambahnya lagi.

Pilihan Raya Umum diramal akan diadakan seawal-awalnya Oktober depan. – Sarawakvoice