Selamat tinggal Piala FA

Sarawak kecundang dengan sepakan penalti 1-4

KUCHING: Menangis air mata darah sekalipun tidak akan mengubah nasib Sarawak, yang mengucapkan selamat tinggal pada Piala FA malam tadi.

Semuanya berakhir setelah Sarawak dinafikan kemenangan melalui sepakan penalti, dengan penjaga gol gantian Terengganu, Mohd Suffian Rahman muncul wira menepis dua sepakan.

Sepakan Mateo Roskam berjaya ditampan sementara tendangan Demerson Bruno Costa melangit untuk mengheret Terengganu ke aksi separuh akhir Piala FA.

Gol-gol Terengganu pula disempurnakan oleh Issey Farrab Morgan Nakajima, Lazario Vinicius, Federico Matias Falcone dan K. Parthiban.

Bagaimanapun dalam aksi timbal balas kedua suku akhir ini, anak-anak buah Irfan Bakti Salim harus berterima kasih kepada Issey Farran yang berjaya menghukum pertahanan Sarawak pada minit ke-9, untuk gol pertama.

Ketika Terengganu kelihatan menang dalam aksi 90 minit permainan, Bruno Costa berjaya menghidupkan kembali semangat Sarawak untuk untuk gol penyamaan.

Baki aksi, disambung dengan masa tambahan, kedua-dua pasukan saling menyerang.

Malah Sarawak acap kali menemui peluang terbaik, namun kegopohan dan kurang keyakinan, terutamanya pada Abdul Rahim Abdul Razak menyebabkan gagal menterjemahkan gol.

Selepas episod duka Piala FA, dengan Stadium Negeri sekali lagi mengecewakan, Sarawak perlu kembali fokus untuk melayan Kelantan pada 26 April depan, bagi aksi liga.