Hanya bermain bola tampar di tapak ujian nuklear Korea Utara?

MARYLAND: Korea Utara selama ini mendakwa sukses menjalankan lima siri ujian nuklear pada 2006, 2009, 2013 serta Januari dan September 2016 di Punggye-ri, daerah pergunungan, sebelah timur laut negara tersebut.

Tidak diketahui sejauh mana pencapaian penguasaan program nuklear berkenaan walaupun Pyongyang mendakwa berjaya menghasilkan miniatur peledak nuklear yang mampu dimuatkan pada peluru berpandu.

Walaupun ujian terakhir peluru berpandu balistik pada pertengahan April jelas gagal, tetapi Pyongyang tidak mahu mengaku kalah atas ejekan dan provoksi AS.

Malah, Pyongyang bertekad meneruskan ujian pada setiap minggu.

Terkini, beberapa pakar Amerika Syarikat yang bertugas menganalisis foto satelit Korea Utara mengaku melihat kakitangan bertugas di tapak nuklear berkenaan sedang mengadakan perlawanan bola tampar.

Foto pada Ahad itu terakam satelit komersial dan dikeluarkan oleh 38 North, projek pemantauan terhadap Korea Utara di Universiti Johns Hopkins, Maryland, AS.

Penganalisis yang memantau foto berkenaan menjelaskan maksud kepada aktiviti janggal di Punggye-ri, lokasi ujian nuklear tersebut.

Foto 38 North

Pertama, staf berkenaan dalam persiapan ujian nuklear dan sedang menunggu arahan lanjut daripada pemimpin tertinggi rejim Korea Utara.

Kedua, pertandingan bola tampar diadakan sebagai sebahagian daripada plot Korea Utara untuk mengecohkan dunia antarabangsa.

Pemantauan dilakukan oleh Joseph S. Bermudez Jr, Jack Liu dan Frank Pabian.

Mereka berkata, “mungkin Pyongyang memerintahkan kegiatan di situ dihentikan sementara sebagai sebahagian daripada rancangan mengecohkan dunia antarabangsa.”

Mereka juga mengandaikan Pyongyang sengaja menunda ujian nuklear keenam sehingga sampai masanya demi keuntugan politik.

Selain pertandingan bola tampar, pelbagai foto yang dirakam menunjukkan terdapat kereta api lombong sedang membuang muatannya.

Pakar menjangka berlaku aktiviti pembinaan terowong untuk ujian nuklear walaupun tiada petanda adanya air dipam keluar dari sistem terowong. – Sarawakvoice