Fadillah sokong penuh usaha bina semula Jambatan Gantung

KUCHING: Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mengalu-alukan usaha Kerajaan Negeri untuk membina semula Jambatan Gantung Satok setelah 13 tahun terbenam di dasar Sungai Sarawak.

Menurutnya, sentimen yang sama turut dikongsi oleh seluruh penduduk Petra Jaya yang merangkumi kawasan Satok, Tupong dan Samariang.

“Jambatan ini memiliki nilai sejarah dan juga unik.

“Ia menghubungkan kawasan Petra Jaya dan Kuching Lama.

“Kerana itu kita mengalu-alukan usaha untuk membangunkannya semula dan akan berdiri di belakang, menyokong sepenuhnya usaha Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg,” katanya ketika ditemui semalam.

Pada Februari lalu, Abang Johari mahu jambatan yang runtuh pada awal pagi 7 Oktober 2004 itu dibina semula pada tahun ini.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Ir Zuraimi Sabki telah diarahkan untuk melakukan kerja-kerja reka bentuk, agar jambatan pejalan kaki era Brooke ini dapat dimulakan sesegera mungkin.

Menurut Ketua Menteri, ia akan menjadi tarikan pelancong yang kini amat berminat menikmati pemandangan dengan berbasikal.

Jambatan Gantung mula dicadangkan pada tahun 1902 namun kerja-kerja pembinaannya hanya bermula pada tahun 1921 dan siap sepenuhnya pada 1962.

Berukuran sepanjang 130 meter dan seluas 2.3 meter, jambatan ini menempatkan saluran paip dari tangki air di Matang ke kawasan seberang Sungai Sarawak. – Sarawakvoice