Disember tarikh akhir siapkan Hospital Petra Jaya — Fadillah

KUCHING: Kementerian Kerja Raya hari ini memberi tempoh sehingga Disember depan untuk pihak kontraktor menyiapkan kerja-kerja pembinaan Hospital Petra Jaya, yang kini terlewat dari jadual.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Kerajaan Negeri sendiri akan memantau dan membantu untuk memastikan projek ini akan disiapkan.

“Ada beberapa isu dan cabaran yang dihadapi kontraktor, yang menyebabkan mereka memohon untuk lanjutan tarikh akhir projek.

“Antaranya isu pekerja mahir dari luar untuk menyiapkan beberapa kemudahan, dan untuk ini, memerlukan intervensi daripada Kerajaan Negeri.

Isu lain kata Fadillah, kontraktor juga sedang dalam proses melantik subkontraktor baharu selepas subkontraktor lama diberhentikan.

“Keadaan ini menyebabkan banyak kerja tertangguh,” katanya lagi yang ditemui selepas mempengerusikan Taklimat Projek-Projek Pembangunan di Dewan Undangan Negeri Samariang dekat sini petang tadi.

Pun begitu katanya, berdasarkan laporan pelaksanaan daripada pihak penyelia iaitu JKR Negeri, punca lain kelewatan projek ini ialah isu pengurusan kontrak.

“Terlalu banyak pecahan pakej dan kontraktor terpaksa melantik subkontraktor pakar untuk menangani kerja-kerja seperti mekanikal dan elektrikal serta prasarana perubatan.

Dengan jaminan tiada kos tambahan akan dikeluarkan, Fadillah berkata, pihaknya sedang meneliti secara rapi proses pelaksanaan projek ini tanpa menjejaskan spesifikasi dan kualiti.

“Ketika ini kita sedang berbincang dengan pihak Kementerian Kewangan untuk menzahirkan tindakan terbaik.

“Ini termasuk kos peralatan yang pasti melonjak susulan perubahan nilai mata wang antarabangsa,” jelasnya lagi.

Ketika ini, projek bernilai RM495 juta tersebut sudah melewati 50 peratus, namun terlewat 20 peratus daripada jadual.

Hospital yang dijadualkan mengkhusus kepada sakit wanita dan kanak-kanak apabila siap kelak ini akan memuatkan 300 katil pada satu-satu masa.

Ia dijangka membantu menangani isu kesesakan pesakit di Hospital Umum Sarawak. – Sarawakvoice