SL1M Sarawak berjaya temukan majikan dan pekerja dan pasaran yang sengit

KOTA SAMARAHAN: Lebih 15,000 pencari kerja memanfaatkan peluang Program Skim Latihan Satu Malaysia (SL1M) Peringkat Negeri Sarawak anjuran Jabatan Perdana Menteri yang berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan berakhir petang semalam.

Program dua hari itu terbuka kepada orang ramai, dengan menawarkan 13,000 kekosongan pekerjaan.

Menurut sekretariat penganjur, yang juga Dekan Pusat Pembangunan Pelajar Unimas, Prof Madya Dr Siti Raudzah Ghazali, program ini amat berjaya dalam menemukan para pencari kerja dan bakal majikan mereka.

“Secara keseluruhannya, program ini saya anggap sangat berjaya kerana ia membuka sedikit ruang dan peluang untuk mendapatkan pekerjaan, dalam pasaran yang sengit dan kompetetif.

“Lebih 15 ribu pengunjung datang ke pameran program temu duga terbuka ini dan memperoleh manfaat berguna daripadanya.

Menurutnya lagi, bagi pelajar-pelajar Unimas dan universiti lain yang masih belajar, mereka juga dapat bertemu dengan bakal-bakal majikan dan melihat prospek kerja.

“Pelajar juga boleh merintis majikan-majikan untuk latihan industri manakala pensyarah boleh mewujudkan jalinan industri.

Katanya, program ini juga membolehkan isu kekurangan tenaga kerja mahir ditangani kerana ia menemukan pihak yang sama-sama berkepentingan dalam pelbagai bidang dan skop kerjaya.

Bagi wakil Pasti Nyala Sdn Bhd, Mohd Hafizuddin Mohamad, program ini membolehkan mereka mendapatkan ramai calon untuk ditemu duga.

“Sarawak mempunyai banyak bakat dalam pelbagai cabang IT.

“Sekarang ini kita dah dapatkan resume untuk lebih 100 calon dan 80 orang sudah ditemu duga.

“Biarpun perlu melalui temu duga kedua, namun harus diingat kita juga memerlukan pekerja sepenuh masa sekarang kerana sedang menjayakan projek besar.

“Jadi peluang mereka besar,” tambahnya.

Bagi lulusan Diploma Seni Reka dan Seni Lukis UiTM Melaka, Nor Siti Aishah Johan, beliau bersyukur sebab segera mendapat kerja, malah terus mendapat surat tawaran.

Mungkin juga kerana pengalamannya, beliau diterima bekerja dengan restoran Starbuck.

“Ini bukan masa untuk memilih kerja,” katanya lagi. – Sarawakvoice