Sheikh Suleiman miliki RM70 bilion, tetapi miskin!

RIYADH: Tokoh korporat dan bilionaire Arab Saudi, Sheikh Suleiman al-Rajhi dikatakan menyerahkan wakaf peribadinya yang diyakini terbesar dalam rekod dunia Islam.

Dalam wawancara Snapchat dengan selebriti Mansour al-Reqeiba, Sheikh Suleiman, 97, mengaku memberikan AS$16 bilion (RM70.4 bilion) kepada anak-anak serta isteri-isteri beliau.

Mansour seperti dilaporkan Al-Arabiya pada Rabu (19/4/2017) menganggap wakaf ini sebagai yang terbesar di dunia Islam.

Wakaf merupakan sumbangan amal yang tidak dapat dipindah tangan, berupa wang atau aset lain yang diberikan untuk keperluan agama atau amal.

Sheikh Suleiman kelahiran 1920, usahawan terkenal Arab Saudi dianggap sebagai salah seorang terkaya di negara tersebut.

Pada 2012, beliau menduduki ranking keempat terkaya di Arab Saudi.

Beliau hanya berkelulusan sekolah dasar, namun berjaya bersama-sama adik-beradiknya membangun dan mengembangkan Bank al-Rajhi menjadi salah satu bank dengan keuntungan terbesar di dunia.

Pada 2011 Forbes menganggarkan kekayaan Sheikh Suleiman hanya sebesar AS$7.7 bilion (RM33.9 bilion) menjadikan beliau orang terkaya ke-120 di dunia.

Al-Jazeera pada 16 Mei 2011 pernah melaporkan Sheikh Suleiman menyerahkan AS$6 bilion (RM26.4 bilion) kepada badan kebajikan.

Bank al-Rajhi didirikan 1958, dan dinobatkan sebagai bank Islam yang mempunyai cawangan terbanyak di dunia pada 2006.

Pada 2012 kemudian, Sulaiman dikatakan memindahkan kekayaannya kepada warisnya dan menderma sebahagian hartanya kepada badan amal dan rumah anak yatim.

Namun, mengejutkan, sesuai dengan pendidikan zaman kanak-kanaknya yang miskin sehingga ibu bapanya hanya dapat membekalkannya dengan sekolah dasar, Sheikh Suleiman memilih untuk kembali miskin.

Sheikh Suleiman didakwa memilih untuk kembali kepada hidup miskin dan hanya memiliki pakaian sahaja.

Sheikh Suleiman sedar seluruh dunia cuma kepunyaan tuhan dan beliau mahu menikmati lebih banyak masa bersama-sama keluarganya. – Sarawakvoice