Shafie Apdal sedia beri keterangan kepada SPRM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shafie Apdal berkata beliau sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes pembelian hartanah oleh MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) di Australia pada 2013.

Namun, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah  itu berharap supaya SPRM dapat  memaklumkan kepada beliau lebih awal sekiranya memerlukan sebarang kerjasama berhubung siasatan untuk penyelarasan jadualnya.

Shafie berkata, beliau terpanggil untuk memberi respons berhubung beberapa kenyataan yang tular di media massa dan sosial, mengaitkan namanya sebagai dengan kes itu.

“Saya terpanggil untuk memberi respons terhadap beberapa kenyataan yang tular di media massa dan media sosial baru-baru ini yang mengaitkan nama saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki, memaklumkan siasatan MARA Inc dijangka mengambil masa sehingga hujung tahun ini susulan maklumat baharu diterima pihaknya.

Media melaporkan sekumpulan pegawai Malaysia ketika itu terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi pembelian blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House di Melbourne pada 2013.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya akan memanggil Shafie jika mereka memerlukan maklumat daripadanya.

“Sesiapa sahaja yang boleh beri keterangan atau terbabit dalam siasatan yang dijalankan, kita akan panggil untuk beri keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya sama ada  bekas menteri itu akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan MARA Inc. – Sarawakvoice