Sarawak sambut baik kerjasama institusi latihan dan industri

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak amat menggalakkan sebarang bentuk jalinan kerjasama antara institusi latihan dan industri, kata ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata dengan adanya perkongsian teknologi dan kepakaran ini secara tidak langsung dapat memantapkan lagi proses pembelajaran dan latihan para pelajar untuk menempuh alam pekerjaan yang sebenar.

Abang Johari berkata demikian dalam teks ucapan beliau yang dibaca oleh Menteri Muda Solidariti Sarawak Rosey Yunus pada majlis penutup Bengkel Didik Hibur-Kamishibai Peringkat Antarabangsa Tahun 2017 di sini, semalam.

Katanya, usaha sama strategik antara IPG Kampus Tun Abdul Razak dengan Yaiyo Yuden Sdn Bhd dan rakan sinergi yang lain adalah sangat dialu-alukan dan berharap  ia dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Turut terlibat dalam penganjuran bengkel tersebut ialah IPG Kampus Temenggong Ibrahim Johor Bahru, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, DBP Wilayah Selatan dan Majlis Bandaran Johor Bahru sebagai rakan sinergi bersama.

Abang Johari berkata keberhasilan pendidikan yang diterjemahkan dengan pembangunan modal insan yang berkualiti merupakan sandaran penting negara ke arah negara maju dan amanah ini merupakan tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh semua warga pendidik, terutama guru-guru di bilik darjah.

“Peranan dan komitmen para guru amat diperlukan,  malah tugas menjadi sangat mencabar dengan keperluan pembelajaran abad ke-21 yang merujuk kepada konsep Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang kondusif terbuka, interatif, menarik dan berpusatkan murid,” katanya.

Oleh sebab itu, beliau berkata konsep pengajaran dan pembelajaran perlu berubah selain perlu ada perubahan minda dalam kalangan warga pendidik.

“Kita perlu memikirkan semula reka bentuk pengajaran dan pembelajaran pendidik iaitu pembelajaran lebih aktif, lebih interaktif dan lebih immersif serta bersifat cabaran dan permainan peranan, pembelajaran secara ‘hands-on’ dan ‘minds-on’ serta bercirikan didik hibur.

“Hanya dengan cara ini kita dapat mencapai matlamat pendidikan di dalam Bloom’s Taxonomy, iaitu bukan hanya untuk mengingati tetapi untuk mencipta,” katanya.

Justeru, beliau berkata guru-guru perlu melengkapkan diri mereka degan kemahiran tertentu bagi memudahkan mereka menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21. Bernama