Sarawak bakal muncul sebagai pengeksport tenaga terbesar ASEAN – Tengah

MIRI: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yakin Sarawak berupaya muncul sebagai pengeksport tenaga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Menurutnya, faktor ini didorong oleh kekayaan dan kepelbagaian sumber tenaga boleh diperbaharui yang dimiliki negeri ini.

“Ketika ini, Sarawak sedang berusaha meningkatkan kapasiti eksport elektrik ke Kalimantan Barat, Indonesia pada kadar 230 megawatt (Mw) menjelang akhir tahun depan.

“Usaha juga sedang dilakukan untuk mengeksport tenaga elektrik ke Sabah dan Brunei Darussalam, yang diharap dapat menyumbang kepada usaha memperkukuhkan ekonomi negeri ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Teknologi Bahan dan Tenaga Antarabangsa 2017 di Universiti Teknologi Curtin Kampus Sarawak di sini semalam.

Gambar fail

Ketika ini, Sarawak mengeksport sejumlah 100 Mw elektrik ke Kalimantan Barat.

Penjanaan tenaga elektrik di negeri ini kini menjangkau 4,696 Mw, dengan 75 peratus dijanakan melalui kuasa hidro, 13 peratus menggunakan gas asli cecair (LNG) dan
12 peratus daripada arang batu .

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak menambah, kerajaan negeri kini membuka pintu, khususnya dari negara maju untuk bekerjasama menerokai sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

“Ini termasuk bahan bakar berasaskan hidrogen daripada sumber kuasa hidro yang ditinggalkan atau terbiar.

“Inovasi ini lebih menjimatkan kos daripada penjanaan tenaga menggunakan sumber petroleum selain mesra alam.

Sarawak memiliki banyak sumber tenaga boleh diperbaharui yang belum diteroka atau dimanfaatkan sepenuhnya.

Ini termasuk daripada kuasa hidro, solar dan biomass untuk pembalakan atau sisa minyak sawit.

Perkembangan itu juga membantu merangsang pertumbuhan industri hiliran dan huluan berasaskan sumber tenaga boleh diperbaharui tersebut.

Sarawak terbabit dalam industri tenaga membabitkan minyak dan gas sejak 107 tahun lalu apabila telaga minyak pertama ditemui dan digali di Grand Old Lady, dekat sini. – Sarawakvoice