KUALA LUMPUR: Walaupun pertumbuhan global rendah dan pendapatan korporat yang tidak memberangsangkan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan kasar RM46.56 bilion pada akhir 2016.

Pendapatan ini meningkat berbanding RM44.23 bilion pada 2015.

Memetik Bernama pada Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam laporan tahunan bertemakan “Merealisasikan Masa Hadapan yang Lebih Baik” dibentangkan di Parlimen 5 April lepas melaporkan peningkatan 6.81 peratus jumlah aset pelaburan kepada RM731.11 bilion daripada RM684.53 bilion pada 2015.

Menurut beliau, penurunan harga minyak mentah, mata wang tempatan yang lemah, pendapatan korporat yang tidak memberangsangkan memberi kesan kepada KWSP.

Untuk 2016, KWSP mengumumkan dividen 5.70 peratus berbanding 6.40 peratus pada 2015.

Simpanan tahunan KWSP mencatatkan kenaikan 2.68 peratus kepada RM61.5 bilion berbanding jumlah pengeluaran sebanyak RM46.80 bilion, menjadikan aliran masuk ialah RM14.79 bilion. – Sarawakvoice