Pemimpin yang hina Islam akan ditolak

KUALA LUMPUR: Umat Islam akan bertindak dan menolak seseorang pemimpin yang menghina Islam sebagaimana dibuktikan daripada keputusan dalam pemilihan Gabenor Jakarta rabu lalu, kata Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan.

Bekas menteri Indonesia dan pasangannya telah menewaskan penyandang Ahok dan pasangannya, sekali gus disifatkan Nasrudin sebagai membuktikan kebangkitan semangat Islam.

Anies Baswedan dan Sandiaga Uno terpilih sebagai gabenor dan timbalan gabenor kota 11 juta jiwa itu, mengetepikan Basuki Tjahaja Purnama  atau Ahok dengan Djarot Saiful Hidayah.

Nasrudin berkata, kini semangat sama sedang meniti umat Islam di Malaysia susulan isu cadangan meminda Akta 355 dan Akta 164.

RUU355 yang dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang mendapat tentangan termasuk daripada parti komponen Barisan Nasional.

Menurut Ahli Parlimen Temerloh itu, perkembangan isu berkenaan membuka mata rakyat di negara ini terhadap siapa yang menjadi lawan dan kawan yang benar-benar memperjuangkan Islam.

“Justeru, kebangkitan yang sama sedang membugar pada pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.

Pemilihan Gabenor Jakarta kali ini menyaksikan tunjuk perasaan di pelbagai kota, terutama Jakarta susulan kenyataan Ahok, seorang Kristian daripada etnik minoriti Cina yang didakwa menista agama dalam salah satu ucapan kempennya.

Kekalahan beliau itu, antara lain disebabkan faktor tersebut dan kuatnya sentimen Islam dalam warga Jakarta . – Sarawakvoice