Pelajar terlibat jenayah: Serah kepada polis ambil tindakan

KUALA KANGSAR:  Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi,  mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa, jika terdapat pelajar sekolah yang ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan jenayah termasuk gengsterisme.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menegaskan pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menangkap pelajar berkenaan atau mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang ke atas mereka.

“Kalau pelajar itu telah terbukti melakukan kesalahan jenayah, polis tangkap sajalah ambil  tindakan sebab mereka ini tidak mahu sekolah lagi.

“Kita (kementerian) tidak mahu berunding lagi (dengan polis atau ibu bapa) kalau pelajar berkenaan telah disahkan oleh polis ada elemen jenayah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kecemerlangan Pendidikan 2.0 Parlimen Kuala Kangsar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan 18 orang termasuk 13 pelajar kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap Geng 24 di sekitar Klang, awal hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tangkapan itu dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFFOC).

Khalid menerusi catatan di laman Twitternya juga memberi amaran bahawa ramai lagi akan ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti Geng 24.

Mahdzir dalam pada itu meminta ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak mereka bagi mengelak terjebak dengan kegiatan jenayah dan tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada pihak sekolah.

Ditanya mengenai penglibatan pelajar sekolah dalam kegiatan jenayah termasuk kongsi gelap, Mahdzir berkata ia boleh dilihat menerusi enrolmen kehadiran pelajar di sekolah.

“Unsur ini (penglibatan dalam jenayah) boleh dilihat bermula dengan tidak hadir ke sekolah. Ada sekolah di bandar dan luar bandar yang enrolmen jatuh sehingga 85 peratus,” katanya. Bernama