Pas: Bukan semua rakyat sokong pembangkang

KUALA LUMPUR:  Pas berkata zaman perhambaan sudah berlalu dan zaman berpolitik secara tidak demokrasi sudah tidak sesuai kerana rakyat sudah mual dengan gelagat pemimpin seperti ini.

Kata  Naib Presiden Idris Ahmad,  kerajaan tidak patut  mendera rakyat yang memilih wakil rakyat pembangkang  kerana pilihan yang dibuat mereka adalah selaras dengan hak demokrasi.

“Parti pembangkang juga parti yang sah dan dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan ini  dibuat susulan tindakan terbaru Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan Parlimen di mana Barisan Nasional (BN) tewas.

Arahan itu meliputi semua projek BP 1 yang menurut laman web KPKT, merujuk kepada projek-projek infrastruktur berskala kecil di peringkat majlis.

Keputusan itu dikatakan dibuat pada mesyuarat 9 Mac lalu untuk “penyelarasan peruntukan projek BP 1 2017” yang dihadiri oleh Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar bersama datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan Malaysia.

“Kesianlah kepada rakyat yang berada di dalam kawasan Parlimen pembangkang. Mereka juga pembayar cukai, tiba-tiba manfaat tidak diperoleh oleh mereka. Apa dosa mereka?,” katanya yang juga Ahli parlimen Bukit Gantang.

“Bukan semua mereka ini menyokong pembangkang, ada juga yang masih tegar menyokong BN,” ujarnya lagi. – Sarawakvoice