Maza serahkan hadiah jenglot kepada UNIMAP untuk kajian saintifik

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pada Khamis menulis di Facebook, DrMAZA.com: “Beberapa hari yang lepas ada pihak memberikan saya ‘seekor jenglot’ yang berasal dari negara seberang. Kononnya, jenglot ini sejenis makhluk yang mempunyai pelbagai cerita aneh.

“Pelbagai cerita sihir, mistik dan pelik yang sering dikaitkan dengan ‘makhluk’ jenglot itu. Mereka yang dipengaruhi amalan sihir dan syirik sanggup membeli benda ini dengan harga yang mahal.

“Kita semua berlindung dengan Allah daripada amalan syirik, sihir, syaitan dan segala kejahatan apa sahaja makhluk yang wujud. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segalanya.

“Sebahagian cerita syaitan dan jin itu hanya tokok tambah dan khurafat semata. Pagi ini saya telah serahkan jenglot itu kepada pihak UNIMAP untuk dimasukkan ke dalam makmal kajian secara saintifik.

“Semoga dengan itu kita akan dapat mengetahui apakah di sebalik dakwaan yang pelbagai itu. Sebelum (ini), pihak USM pernah membuat kajian atas bahan jenglot. Harap kajian UNIMAP lebih lengkap,” tulis Dr Mohd Asri di Facebook beliau yang turut menyertakan foto berkaitan hadiah misteri itu.

Memetik Wikipedia, jenglot ialah objek hominoid berukuran kecil (sekitar 10-17 sentimeter), berkulit gelap dengan tekstur kasar (seperti mumia), berwajah seperti tengkorak dan bertaring mencuat, serta memiliki rambut dan kuku yang panjang.

Jenglot dipercayai memiliki kekuatan mistis dan memakan darah manusia.

Masyarakat Indonesia meyakini jenglot sebagai makhluk yang memiliki kekuatan mistik dan dapat mengundang bencana.

Menurut Wikipedia lagi, “ada juga kesimpulan yang mengatakan jenglot itu dibuat dengan proses mumifikasi dari beberapa spesies, seperti kepala monyet yang disambung dengan ekor kuda sebagai rambutnya.”

Menurut mitos, jenglot dikatakan adalah manusia yang memiliki ilmu batara karang yang tubuhnya makin lama makin mengecil.

Jenglot dikatakan banyak di jual beli, tetapi kebanyakan tidak lebih dari hanya sekadar boneka yang dibentuk sedemikian rupa menggunakan kulit tupai,kelawar atau haiwan lainnya.

Menurut Wikipedia, Jenglot yang asli dipercayai dapat dimanfaatkan untuk mengambil harta terpendam seperti emas dari dalam tanah, caranya dengan memberi makan jenglot tersebut darah! – Sarawakvoice