‘Love bite’ buka cerita kanak-kanak 11 tahun diperkosa di kilang bata Julau

SIBU: Gigitan manja ‘love bite’ pada leher membuka kisah seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun diperkosa oleh seorang lelaki di sebuah kilang bata pada Ahad lalu.

Love bite tersebut dikesan oleh ibu mangsa pada Isnin lepas hingga menimbulkan rasa curiga, seterusnya menuntut mangsa bercakap benar.

Terkejut akan pengakuan mangsa, ibunya yang juga suri rumah berumur 36 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Sibu Jaya.

Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu menahan seorang lelaki, yang disyaki perogol terbabit di Julau petang kelmarin.

Suspek yang berumur 31 tahun ditangkap di sebuah rumah panjang di Rantau Lelangan, Meluan, Julau sekitar jam 3 petang kelmarin.

Dia kini menjalani perintah reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Suspek sebelum ini dipercayai melarikan diri dan bersembunyi beberapa hari di luar, ditangkap ketika pulang ke rumah.

Siasatan awal polis mendapati suspek melakukan hubungan seks dengan mangsa di sebuah kilang bata dekat sini pada Ahad.

Difahamkan, suspek mengaku mengambil kesempatan ketika mangsa berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol. – Sarawakvoice