Lelaki dibelasah mati kerana provokasi dalam aplikasi wechat di Sibu

SIBU: Gara-gara aplikasi wechat, seorang lelaki maut dibelasah pada awal pagi semalam di Jalan Wong King Huo 3B, dekat sini.

Mangsa yang dikenali sebagai Tang, 29 tahun, dibelasah menggunakan kayu besbol dan besi sebelum pengsan.

Beliau kemudian dikejarkan ke pusat perubatan swasta dekat sini namun diisytihar meninggal dunia akibat cedera parah di kepala sekitar jam 5.22 pagi.

Difahamkan, mangsa dan empat rakannya yang lain sebelum itu sedang minum di sebuah kedai kopi, sebelum didatangi dua saspek yang berusia 22 dan 26 tahun dalam keadaan marah.

Dipercayai telah berlaku provokasi dan pertengkaran di antara suspek dan manga, menerusi aplikasi maya wechat.

Sejurus selepas itu, rakan-rakan suspek tiba dengan membawa pelbagai senjata menyebabkan mangsa dan rakan-rakan terpaksa melarikan diri.

Bagaimanapun sekitar 200 meter dari situ, mangsa dapat ditangkap sebelum dibelasah teruk.

Beberapa rakan mangsa turut dipukul ketika cuba menghalang tindakan itu menyebabkan mereka cedera ringan.

Difahamkan, adegan pergaduhan tersebut turut dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV), yang menunjukkan 10 lelaki menyerang dan memukul mangsa menggunakan batang besi dan kayu besbol.

Menurut Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Saiful Bahri Abdullah, siasatan segera telah dilakukan dan pihaknya telah mengenal pasti identiti beberapa suspek terlibat.

“Pihak kita kini sedang mengesan kesemua suspek dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh,” katanya lagi. – Sarawakvoice