Kehilangan Laskar KD Perantau terus misteri

BINTULU: Tiada petunjuk, tiada tanda dan tiada kesan, namun ia tidak mematahkan semangat operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang “ghaib” pada pagi Isnin lalu.

Panglima Wilayah Laut II, Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, pihaknya akan mengatur gerak lebih banyak aset manakala jangkauan operasi diperluas kepada kepada 5,625 batu nautika barat daya Bintulu.

“Ketika ini, operasi pencarian masih berlangsung secara aktif dan kita pihak kita dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang bekerja rapat dalam menjayakannya,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Menurutnya, pihaknya masih buntu tentang apa yang berlaku.

“Hanya sesetengah bahagian dalam kapal ada kamera litar tertutup (CCTV) namun insiden kehilangan ini tidak dirakam,” katanya lagi.

Ketika kejadian, kapal terbabit, KD Perantau yang membawa kira-kira 80 anak kapal sedang berada di Malaysia Timur selama enam hari untuk melaksanakan ujian peralatan pengukuran dan ujian air dalam.

Mangsa, Amirul Bahari Ismail, 22 tahun, dari Pahang hanya disedari ghaib dan tidak berada di dalam kapal sekitar jam 9.00 pagi, 17 April lalu.

Berpangkat Laskar Kelas II Komunikasi TLDM, Amirul kali terakhir dilihat berada di bilik rehat KD Perantau sekitar jam 7.15 pagi hari tersebut. – Sarawakvoice