Jangan cerewet pilih kerja, tingkatkan ilmu dan kemahiran apabila telah bekerjaya – Ketua Menteri

SAMARAHAN: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menasihatkan para graduan di negeri ini agar tidak terlalu cerewet memilih kerja.

Ini kerana persaingan dalam pasaran kerjaya kini amat tinggi.

“Justeru paling penting untuk mereka merebut peluang kerjaya yang ada terlebih dahulu sebelum meningkatkan pengetahuan dan kemahiran selepas itu,” katanya sewaktu merasmikan Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Negeri Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Datuk Seri Micheal Manyin Jawong.

Menurutnya, dengan adanya pengalaman, ia akan memudahkan para pekerja muda ini membuktikan kemampuan diri setingkat demi setingkat.

“Kerana itulah saya amat menghargai program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) ini, yang juga merupakan landasan terbaik untuk golongan graduan ini menemui kerjaya idaman.

“Sejak diperkenalkan pada 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, SL1M turut membuka banyak peluang pekerjaan kepada anak Sarawak.

“Ramai yang berjaya mendapatkan peluang pekerjaan dengan syarikat gergasi seperti Telekom Malaysia, Petronas dan syarkat penerbangan utama negara,” katanya.

Menurut Abang Johari, pada hari ini lebih ramai modal insan yang berdaya saing diperlukan bagi mengukuhkan keyakinan pelabur menanam modal di negara ini.

“Ekonomi negara dijangka terus meningkat pada unjuran 4.5 hingga 5 peratus dan ia disokong prospek pelaburan asing.

“Sarawak turut menikmati peningkatan itu apabila terus menerima pelaburan asing, dengan yang terbaharu sebanyak RM12 bilion dari China.

Dengan nilai pelaburan asing yang besar katanya, Sarawak perlu mengukuhkan keyakinan pelabur dengan menyediakan tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran.

“Dan di sinilah kita memerlukan mereka yang berpengalaman ini untuk menikmati peluang kerjaya yang dihidang.”

Lebih 100 syarikat yang menawarkan 13,000 jawatan kosong dan peluang latihan kepada lepasan sekolah dan IPTA menyertai program ini.

Ia membuka peluang kepada kumpulan sasar untuk mendapatkan peluang pekerjaan ataupun mencari peluang meningkatkan kemahiran dengan mengikuti latihan yang ditawarkan.

Sejak diperkenalkan, 99,000 lepasan sekolah dan graduan sudah mendapat manfaat daripada SL1M. – Sarawakvoice