KUCHING: Di atas kertas, bagi mana-mana pasukan, bermain di kubu sendiri adalah kelebihan, keterujaan dan kemenangan. Apatah lagi dengan sorakan ribuan penyokong setia.

Tetapi tidak bagi David Usop. Bermain di Stadium Negeri untuk pengendali Bujang Senang itu, ketika ini umpama mimpi ngeri.

Sebabnya, pada musim ini, Stadium Negeri dirasakan “tidak semesra” musim-musim lalu.

Terasa amat sukar untuk skuad Sarawak pimpinannya meraih kemenangan, biarpun pada awal permainan dijanjikan dengan harapan yang pelbagai.

Kemenangan sulung yang dicatat di stadium keramat itu ialah pada pertemuan Piala FA yang lalu, apabila Sarawak meratah pasukan berstatus kelab Misc-Mifa dengan 6-3.

Selain seri 3-3 pada aksi terakhir dengan Perak, tiga perlawanan terdahulu menyaksikan Sarawak kecewa, biarpun hadir dengan aksi yang mendapat pujian.

Justeru bagi pasukan yang belum pun berusia lima bulan ini, aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Terengganu hari ini, adalah pertarungan terlalu penting.

“Hijab gol di Stadium Negeri perlu dibuka,” laung para penyokong dalam laman sosial sejak minggu lalu.

Mereka dahagakan kemenangan, kerana aksi menarik bukan “jawapan” terhadap sokongan padu yang diberikan.

David sendiri mendoakan titik perubahan yang serupa.

Katanya, segala kudrat telah ditumpahkan, segala percaturan telah dilakar, dan segala strategi telah dirancang.

“Pelaksanaan strategi penting, tetapi yang lebih penting, menggegarkan gol lawan. Itu fokus kita pada aksi malam esok (hari ini),” katanya.

Menurutnya, Sarawak perlu memanfaatkan kelebihan yang ada, kerana kemenangan ini akan menukar rentak saingan selepas ini.

Berdasarkan prestasi menentang Perak, David tidak menolak untuk meletakkan pertahanan import dari Brazil, Demerson Bruno Costa di garis tengah.

“Mungkin kita akan terus mengekalkan Bruno Costa sebagai midfield berbanding posisi asalnya dan akan bergandingan dengan Lee Jong-ho.

“Beliau seorang yang rajin dan mampu mencipta gerakan serangan,” katanya.

David berkata, ketika ini, beliau masih tidak dapat menggunakan khidmat Nur Shamie Iszuan kerana masih dibelenggu kecederaan di pergelangan kaki kiri.

“Sebaliknya kita akan terus menurunkan Abdul Rahim Abdul Razak yang telah beraksi cemerlang termasuk menjaringkan satu gol minggu lalu,” katanya lagi.

Beliau berharap para pemainnya dapat menyerap tekanan, dan bermain sehabis baik bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala FA.

“Laluan sudah terbuka. Seboleh-bolehnya kami tidak mahu dikecewakan di Stadium Negeri lagi,” katanya. – Sarawakvoice