Ada apa dengan Bersatu?

Ramai yang terperanjat dengan tindakan  seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu keluar parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apa sudah jadi dengan Bersatu? Benarkah ada masalah dalam parti itu?

Betulkah pilih kasih berlaku dalam parti itu, dan pemimpin tertingginya tidak mahu mendengar pandangan ahli?

Atau ada sebab lain yang lebih besar lagi?

Malah dipercayai lebih ramai lagi ahli parti tersebut akan meninggalkan Bersatu.

Benarkah asas penubuhan parti itu yang tidak jelas berbanding Umno menjadi sebab pengasas itu bertindak demikian?

“Parti-parti lain seperti Pas pun ada asas perjuangannya sebab itu parti itu kekal lama dan kalau parti serpihan berasaskan kepentingan peribadi ini tentu sahaja ahli-ahlinya tidak akan berasa yakin dan sebagainya,” seorang pemimpin Umno dipetik sebagai berkata.

Hakikatnya, penubuhan Bersatu hanya berlandaskan kepada dua tujuan utama iaitu bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bagi menaikkan seorang individu sebagai Perdana Menteri sebagaimana dikatakan oleh pemimpin berkenaan kemungkinan tidak dapat ditolak sama sekali.

Dua hari lalu salah seorang pengasas Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman mengisytiharkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu selepas melihat perjuangan Bersatu sudah terpesong.

Kamarul Azman pernah menyandang Pengerusi Perhubungan Bersatu Negeri Sembilan dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Bersatu.

Beliau  juga telah dilantik sebagai ketua penaja parti Bahagian Teluk Kemang.

Kamarul mengatakan wujudnya amalan pilih kasih dalam pelantikan Ketua-Ketua Penaja Bahagian Bersatu  menjadi penyebab beliau meninggalkan parti itu.

Namun perkara ini dinafikan oleh Bersatu.

Menurut parti berkenaan,  pucuk pimpinan telah sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam pelantikan Ketua-Ketua Penaja Bahagian dengan mengambil kira faktor sumbangan seseorang calon yang hendak dilantik, pengalaman, bakat kepimpinan dan penerimaan oleh masyarakat setempat.

Malah, dikatakan setakat ini sebahagian besar ketua penaja bahagian parti telah dilantik.

Hanya beberapa bahagian sahaja yang memerlukan rundingan lanjut dengan beberapa pihak di akar umbi.

Bersatu sudah pasti berdepan dengan masalah besar jika ia dicalar dengan imej negatif. Sebab, apabila pemimpin pengasas keluar, sedikit banyak ini membayangkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan parti itu.

Memang tidak mudah untuk parti baharu memperluas pengaruh dan meyakinkan rakyat.

Tetapi itulah cabaran yang perlu ditangani dengan bijaksanana oleh Mahathir sebagai pengerusi. – Sarawakvoice