Abang Johari jamin pembinaan Jambatan Igan tidak tertangguh lagi, siap dalam tempoh 42 bulan

MATU:  Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku lagi penangguhan untuk projek pembinaan Jambatan Igan, yang telah tertunda berikutan pertukaran spesifikasi projek dan perancangan teknikalnya.

Menurutnya, projek yang menelan kos RM305 juta sepanjang 1.8 kilometer itu akan dilaksanakan pada tahun ini, dan siap dalam tempoh 42 bulan.

“Ketika ini pembinaan jambatan tersebut sedang dalam proses tender,” katanya.

Pembinaan jambatan itu kelak kata Abang Johari, akan menghubungkan laluan darat Mukah dengan Daerah Matu dan Daro dengan lebih pantas dan selesa tanpa menggunakan khidmat feri.

Pada Oktober lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng, Datuk Juanda Jaya meluahkan kemarahannya kepada Kementerian Kerja Raya berikutan penangguhan berkali-kali projek jambatan yang bakal menjadi nadi pembangunan dan kemajuan penduduk di Matu dan Daro.

Abang Johari berkata demikian semalam ketika berucap merasmikan Mula Kerja Pembinaan Masjid Daerah Matu, cadangan pembangunan Komersil Pelita dan cadangan Projek Perumahan Rakyat di Dewan Suarah Matu.

Beliau mengharapkan, dengan adanya jambatan ini kelak, masyarakat di kawasan tersebut tidak akan dipinggirkan daripada pembangunan, malah dapat menikmati ekonomi yang berkembang.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan tambahan peruntukan RM5 juta untuk pembinaan masjid tersebut, berbanding peruntukan asal RM5 juta.

Beliau turut mengumumkan pembinaan 40 unit rumah Spektra Permata masing-masing 20 unit di Matu dan Igan.

Pada sebelah paginya, Ketua Menteri menyampaikan Pingat Perkhidmatan Setia kepada penjawat awam di Mukah. – Sarawakvoice