3,276 penjawat awam muflis

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,276 penjawat awam diisytiharkan muflis dalam tempoh empat tahun sejak 2013  kerana gagal menjelaskan hutang.

Bilangan penjawat awam yang diisytiharkan muflis pada tahun lalu meningkat 13 peratus iaitu 1,093 orang berbanding 960 orang pada tahun sebelumnya, 606 orang (2014) dan 617 orang (2013).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pinjaman peribadi yang dipotong melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) merupakan penyumbang terbesar keberhutangan yang serius dalam kalangan penjawat awam.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustapha Kamal Mohd. Yusoff mengenai status keberhutangan dalam kalangan penjawat awam ketika sesi soal jawab dalam sidang Dewan Negara, semalam.

Ujarnya, bermula bulan ini, Jabatan Akauntan Negara telah melaksanakan sekatan bayaran potongan gaji penjawat awam sehingga maksimum 60 peratus daripada jumlah gaji kasar melalui sistem gaji berkomputer.

Tujuannya adalah bagi menangani masalah hutang dalam kalangan penjawat awam.

Jabatan Akauntan Negara merekodkan sebanyak 61,726 daripada 1.59 juta penjawat awam menerima pendapatan bersih kurang 40 peratus daripada emolumen bulanan mereka. – Sarawakvoice