Tentera pelbagai negara laksana program kesihatan di Bau

BAU: Program Jiwa Murni Kesihatan Masyarakat (Community Health Outreach Team Programme – CHOT) sempena Eksesais Pacific Partnership 2017 anjuran Markas Angkatan Bersama telah berlangsung dengan sambutan yang amat menggalakkan oleh penduduk Kampung Suba Buan serta kampung di sekitarnya semalam.

Program ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Batalion Pertama Perubatan ATM, Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia dan Pejabat Daerah Bau serta organisasi di bawahnya.

Acara tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tasek Biru, Datuk Henry Harry Jinep.

Antara aktiviti yang berlangsung seperti pemeriksaan dan rawatan perubatan, kesihatan, mata dan pergigian, ceramah nutrisi dan pemakanan, latihan penjagaan gigi untuk kanak-kanak serta demonstrasi pertolongan cemas.

Program Jiwa Murni kesihatan ini merupakan yang pertama melibatkan pelbagai negara dalam eksesais Pacific Partnership di kawasan Kuching dan Bau.

Penduduk begitu teruja dan sanggup menunggu seawal jam tujuh pagi bagi mendapatkan rawatan percuma tersebut.

Seramai 60 anggota perubatan dan pergigian daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua pegawai perubatan Australia, 24 anggota perubatan, pergigian dan paramedik Amerika Syarikat dan sembilan pegawai dan anggota kesihatan Angkatan Pertahanan Jepun berganding tenaga memberi perkhidmatan kesihatan kepada lebih 300 penduduk kampung.

Majlis perasmian acara tersebut tersebut turut dihadiri oleh Kolonel (Dr) Saravanan Annapilai mewakili Markas Angkatan Bersama, Residen Bahagian Kuching Shukarmin Chasemon dan Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam.

Penganjuran program seperti ini memberi impak positif bukan sahaja kepada penduduk kampung malah kepada negara yang terlibat dalam eksesais ini.

Ia merapatkan hubungan secara langsung antara penduduk dan tentera, selain peserta Pacific Partnership itu sendiri yang terdiri daripada pelbagai negara.

Jurang komunikasi antara penduduk kampung dan doktor serta pegawai perubatan daripada negara seperti Jepun, Australia, dan Amerika Syarikat tidak menjadi halangan apabila dibantu penterjemah oleh anggota dan pegawai ATM Divisyen Pertama Infantri Malaysia.

Pendekatan tentera turun padang memberi perkhidmatan kesihatan dan pergigian seperti ini memudahkan penduduk kampung untuk mendapatkan akses mudah selain dapat menjimatkan masa dan tenaga mereka mendapatkan rawatan di bandar. – Sarawakvoice