Tapak penjaja akan dibina dengan kos RM400,000 di kawasan pekan Kabong

KABONG: Tapak penjaja kecil bakal dibina di kawasan di kawasan pekan di sini dengan kos RM400,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40, Mohd Chee Kadir berkata pelaksanaan pembinaan tapak penjaja itu dibuat setelah mengambil kira keperluan penduduk setempat yang sangat memerlukan ruang yang untuk berjaja yang sesuai dan teratur.

Projek pembinaan akan dilaksana secepat mungkin dan mesti siap tahun ini.

Chee bersama pegawai Daerah, Kamaluddin Haji Alkap meninjau lokasi tapak yang dicadang bersama beberapa kakitangan pihak berkuasa tempatan kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Menurut jurucakap projek, Senen Wang, 49, peruntukan sebanyak RM400,000 tersebut akan merangkumi kos menimbus serta meratakan kawasan tapak baharu penjaja dan akan dilaksanakan dalam tahun ini juga.

“Pelaksanaan projek di bawah peruntukan Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) itu perlu disiapkan pada tahun ini juga dan akan dibuka untuk orang ramai sebaik ia selesai segala proses pelaksanaan.

“Pada masa kini penjaja kecil di sini tidak mempunyai tapak berniaga yang khusus dan hanya berniaga secara berselerak di sekitar pekan dan ia kadang-kadang agak mengganggu pengguna lain yang melalui kawasan terlibat,” ujar Senen.

Sehubungan dengan itu, dengan wujudnya tapak niaga yang khas itu kelak penjaja kecil tidak lagi berhadapan masalah ketika menjual barangan masing-masing. – Sarawakvoice

Chee dan Kamaluddin di tapak yang dicadangkan.