SPRM bimbang sikap golongan terpelajar terhadap rasuah

ARAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bimbang dengan sikap golongan terpelajar terhadap rasuah apabila hasil kajian persepsi mendapati kira-kira 16 peratus pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sanggup menerima rasuah jika mempunyai peluang dan kuasa, kata Timbalan Ketua Pesuruhjayanya Datuk Shamsun Bahrin Mohd Jamil.

Beliau berkata angka itu diperoleh hasil Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah (KPKT) oleh SPRM di kalangan 1,000 mahasiswa di seluruh negara tahun lepas.

“Angka ini membimbangkan kerana kajian tahun 2015 menunjukkan 10.7 peratus dan tahun sebelumnya (2014) 11.3 peratus sahaja pelajar yang menyatakan kesanggupan menerima rasuah,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) peringkat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus universiti itu di sini, hari ini.

Seramai 15 dekan dan ketua jabatan UniMAP menandatangani dan melafazkan IBR diketuai Naib Canselornya, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal yang turut disaksikan pengarah SPRM Perlis, Yaacob Angah.