Semangat perpaduan tinggi kunci kerukunan rakyat berbilang kaum di Sarawak

SARIKEI: Rakyat Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum mampu mengekalkan kerukunan hidup kerana memiliki nilai perpaduan diri yang tinggi.

Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Abdul Rahman berkata, sikap positif dimiliki itu secara tidak langsung dapat menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat termasuk belia khususnya mahasiswa di instituti pengajian tinggi (IPT).

Katanya, menanam semangat cintakan negara dalam jiwa golongan belia amat penting kerana mereka merupakan generasi pelapis masa depan yang bakal menjulang nama negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Apabila kita berada dalam kehidupan yang moden dan melakukan perubahan mengikut peredaran semasa, maksudnya kita sudah menghormati diri kita sendiri, namun jika kita gagal untuk menghormati diri sendiri ia akan mengakibatkan kehancuran negara,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Negaraku : Gemilang Siswa di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Bintangor di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Penerangan Sarawak, Ali Suhaili; Residen Bahagian Sarikei, Mohamad Junaidi Mohidin dan Pegawai Daerah Meradong, Badjuri Bidin.

Seramai 400 peserta terdiri daripada penuntut IPG Kampus Rajang, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong dan jemputan lain menyertai program bertemakan Siswa Gemilang Aset Negara’ yang bertujuan mengukuhkan semangat patriotisme dan rasa cinta belia terhadap negara.

Dalam pada itu, Norah berkata, kerajaan telah melancarkan portal pengesahan maklumat, ‘sebenarnya.my’ bagi membanteras penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

“Menerusi portal ini, rakyat boleh menyemak dan melaporkan berita yang belum ditentukan kesahihannya,” ujar beliau.

Sementara itu, Ali Suhaili dalam ucapan berkata, Jabatan Penerangan sentiasa komited dalam melakukan pelbagai inisiatif bagi melaksanakan program berbentuk ilmiah seperti program Gemilang Siswa yang merupakan program tahunan anjuran jabatan melibatkan para pelajar IPT dalam program sosial bersama masyarakat.

Menurutnya, pembinaan bangsa negara bukan sesuatu yang mudah seperti yang diperkatakan kerana usaha tersebut perlu bermula dari akar umbi dengan membentuk modal insan anak-anak muda sejak awal lagi melalui program seumpama itu.

“Untuk menjadikan bangsa kita bangsa yang hebat, berdaulat dan dihormati, kita seharusnya mempunyai mentaliti kelas pertama dengan mempunyai nilai-nilai murni dan jati diri yang tinggi,” katanya.