Sanggup bunuh rakan, gara-gara masak makanan tak sedap

KUANTAN: Gara-gara menyediakan makanan tidak sedap dan didakwa kotor, lelaki pekerja ladang, 35, sanggup menyerang rakannya, 59, sehingga maut.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Zundin Mahmud berkata mangsa ditemui tertiarap tidak bernyawa di hadapan pintu rumah pekerja Ladang Estate Belenggu Hall, Mentakab pada 9.05 pagi Isnin.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada Ahad, 10 malam apabila suspek menegur masakan mangsa.

Teguran berkenaan menyebabkan mangsa sakit hati lalu berlaku pergelutan yang membawa kepada serangan maut oleh suspek.

Suspek dipercayai menendang, memukul dengan kayu dan menyerang mangsa dengan parang.

Mangsa patah 9 tulang rusuk kiri, 11 tulang rusuk kanan, retak tulang hidung dan tulang rahang, luka di tapak tangan kanan, patah tulang tangan kiri dan mengalami pendarahan dalam kepala.

Zundin berkata polis menahan suspek yang juga warga tempatan pada 11 pagi Isnin, di ladang berkenaan.

Suspek mempunyai enam rekod jenayah melibatkan kesalahan dadah dan jenayah lain.

Suspek direman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. – Sarawakvoice