RUU355: Suara MCA didengar – Tiong Lai

PUTRAJAYA: MCA tegas menolak pembentangan RUU355 oleh kerajaan dan perkara itu didengari oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) yang mana akhirnya menyaksikan rang undang-undang itu dibentangkan sendiri oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar) berkata, ini membuktikan peranan MCA dalam BN masih penting.

“Apabila UMNO baru-baru ini berkata kerajaan komited untuk mengambil alih bil itu dan membentangkannya, MCA tegas menolaknya.

“Apabila Kerajaan tidak membentangkan RUU355 ini menunjukkan bahawa UMNO hormati pandangan MCA dan parti komponen lain di bawah prinsip konsensus dalam BN.

“Kita berjaya. Ini adalah bukti bahawa MCA masih mempunyai suara dalam BN,“ kata beliau.

Beliau berkata, dasar konsensus BN menyebabkan kerajaan tidak membentangkan RUU355.

Pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN bulan lalu, Najib mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan prinsip konsensus dalam gabungan itu.

Ia dibentangkan oleh Abdul Hadi, tetapi perbahasan Rang Undang-Undang telah ditunda ke mesyuarat akan datang.

Tegas Tiong Lai, MCA telah diberi layanan yang sama rata sebagai parti komponen lain dalam BN dan bukannya seperti yang didakwa oleh DAP.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya semua pihak yang terlibat bergerak ke hadapan dengan menumpukan kepada usaha mewujudkan sebuah negara Malaysia yang lebih kukuh, harmoni dan bersatu.

Beliau berkata tumpuan kini harus kepada usaha mengukuhkan lagi ekonomi yang telah menunjukkan prestasi yang mengagumkan.