Pekerja Korea Utara yang tinggal lebih masa akan dibenarkan pulang – Abang Jo

KUCHING: Tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap pekerja-pekerja warga Korea Utara yang tinggal lebih masa di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, sebaliknya pengecualian akan diberikan kepada mereka berikutan ketegangan diplomatik yang berlaku sebelum ini.

“Apabila Kerajaan Pusat membenarkan mereka pulang, maka kita hantar mereka pulanglah,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Sarawak di sini petang tadi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohd Morshidi Gani dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor.

Katanya, bagi yang masih berada di sekitar negeri ini, mereka mungkin tidak menyedari akan “lampu hijau” yang diberikan untuk mereka kembali ke negara asal.

Sehingga semalam Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan bahawa sejumlah 113 daripada 117 warga Korea Utara dalam senarai Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak telah menyerah diri, setelah tempoh seminggu yang diberikan oleh jabatan itu tamat semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, baki empat lagi rakyat negara itu masih belum berbuat demikian namun majikan yang terbabit memberi jaminan bahawa mereka akan berbuat demikian semalam.

Seramai 183 warga Korea Utara lagi yang tinggal lebih masa dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial juga telah menyerah diri, menjadikan keseluruhannya 296 orang.

Mustafar menjelaskan, kemasukan warga Korea Utara ke Sarawak sebelum ini tidak memerlukan visa, atas hubungan diplomatik yang wujud.

Malah majikan juga tidak pernah hadir ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengemukakan pas kerja.

Katanya, pihak majikan yang terlibat juga telah mengesahkan bahawa tiada lagi warganegara Korea Utara yang tinggal lebih masa menggunakan pas PLS di negeri ini.

Proses penghantaran pulang kini sedang berlangsung secara berperingkat dengan kerjasama majikan terbabit. – Sarawakvoice