Malaysia bankrap, tapi orang masih datang melabur?

Pelaburan oleh Saudi Aramco bernilai US$7 bilion dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (RAPID) di Pengerang, Johor, menimbulkan tanda kenapa syarikat terkemuka itu memilih untuk melabur di sebuah negara yang telah dilebelkan sebagai di ambang kebangkrapan oleh parti-parti pembangkang?

Jika benar Malaysia sudah hampir bankrap mengapa Saudi Aramco sedia melaburkan begitu banyak wang di Pengerang. Pelaburan Saudi Aramco menjadi bukti bahawa ekonomi Malaysia masih kukuh dan syarikat-syarikat besar dunia berkeyakinan untuk melabur di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata adalah mustahil bagi syarikat minyak milik negara Arab Saudi sedia untuk berbuat demikian dalam jumlah pelaburan yang besar di negara yang akan muflis.

“Saya membangkitkan persoalan ini kerana, seperti yang anda tahu, terdapat banyak berita palsu sejak kebelakangan ini. Malangnya, pembangkang kerajaan di Malaysia sering memilih untuk tidak berinteraksi dengan kami berhubung fakta.

“Mereka mencipta propaganda palsu – seperti idea bahawa negara ini hampir bankrap – yang sedihnya ada yang mendapat perhatian di peringkat antarabangsa,” kata beliau dalam ucaptama pada Forum Transformasi Global 2017 baru-baru ini.

Beliau berkata tindakan itu merupakan sabotaj ekonomi untuk kepentingan diri sendiri, kepentingan politik peribadi yang akan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia.

“Perjanjian Aramco itu hampir gagal dengan berita palsu berkenaan. Lagipun, ramai tidak menjangka bekas pemimpin akan berbohong mengenai negara sendiri.

“Oleh itu, apabila beliau memberitahu rakyat bahawa Malaysia sedang berdepan dengan kebankrapan, sesetengah percayakannya. Malah, beliau tahu beliau berbohong,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata kebenarannya ialah di sebaliknya, dengan berjuta-juta pekerjaan diwujudkan, pertumbuhan yang kukuh dan konsisten, serta, inflasi dan pengangguran yang rendah, selain pengurangan dalam defisit fiskal kepada 3.1 peratus tahun lepas daripada 6.7 peratus pada 2009.