Lynas: Bukti rakyat diperdaya tohmahan tidak berasas

KUALA LUMPUR: Isu Lynas yang dijaja oleh pembangkang suatu ketika dahulu kerana kononnya ia bakal menjejaskan kehidupan rakyat kini sepi kerana ia ternyata sekadar tohmahan yang tidak berasas.

Isu Lynas yang dibangkitkan itu semata-mata tindakan pembangkang untuk menghasut rakyat supaya membenci kerajaan selain memancing undi rakyat.

Menurut pengendali blog LSS Report, Lim Sian See, kilang Lynas yang terletak di Gebeng, Kuantan, Pahang sudah lima tahun beroperasi tanpa sebarang insiden seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Malah, jelas beliau, kadar purata dos sinaran juga mengikut piawaian ditetapkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) iaitu 0.65 milisieverts (mSv) setahun di kilang manakala dos sinaran di Kuantan pula mencatat 1.19 mSv setahun, menunjukkan kedua-duanya berada di bawah had dos tahunan yang dibenarkan iaitu 20 mSv.

Maknanya, kadar radiasi yang diperolehi oleh seseorang itu ketika menonton televisyen jenis cathode ray-tube (CRT) yang popular dari tahun 1960an hingga 1990an jauh lebih tinggi daripada yang terdapat di kilang itu.

Sehingga kini Lynas Corp Ltd telah melabur lebih RM2.7 bilion dan akan terus membelanjakan sekitar RM300 juta setahun di negara ini. Lynas mempunyai lebih 550 pekerja tempatan dan sejumlah pekerja asing dari Australia, Perancis, Sweden dan England.

Selama beberapa tahun sebelum Lynas beroperasi, pembangkang menghasut rakyat dengan pelbagai tohmahan termasuk menipu kononnya kawasan itu bakal tercemar dengan radioaktif.

Malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pernah berkata dalam ceramahnya bahawa Lynas adalah loji nuklear yang berkemungkinan akan meletup. Yang nyata, hasil daripada pembohongan tentang Lynas ini salah seorang yang mengetuai pembohongan ini, Wong Tack telah dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum yang lalu.