Lim Kit Siang dicabar undur diri, beri peluang pemimpin lain jadi penasihat DAP

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini dicabar berundur daripada jawatan itu memandangkan sehingga kini parti itu yang mempunyai kerusi paling banyak berbanding parti pembangkang lain, masih gagal menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam mana-mana pilihan raya umum (PRU).

Cabaran itu dibuat anggota Dewan Negara yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang mahu Lim mengundur diri dan digantikan dengan individu lebih berkelayakan.

“Saya cabar Lim Kit Siang letak jawatan (berundur) dan beri pada pemimpin DAP lain seperti anggota Parlimen Kepong Tan Seng Giaw.

“Lim Kit Siang ini dah beberapa kali cuba kalahkan BN dalam PRU, tapi sampai PRU-13 masih gagal. Pemimpin yang gagal selalunya akan ditukar, tapi tidak dengan Lim Kit Siang, dia masih lagi jadi pemimpin DAP sampai kini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Gambar fail

Khairul Azwan seterusnya mempersoalkan mengapa Lim tidak dilantik menjadi pengerusi Pakatan Harapan sedangkan parti tersebut mempunyai kerusi paling banyak berbanding pembangkang yang lain.

Lim juga digesa supaya menerima cabaran bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim untuk berdebat mengenai individu yang paling layak menjadi pengerusi Pakatan Harapan.

Terdahulu, dalam ucapan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, beliau berkata kerajaan antaranya perlu fokus terhadap golongan pengundi berusia 21 hingga 30 tahun dalam agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) agar golongan ini terlibat dalam pembuatan dasar dan keputusan agenda pembangunan negara.

“Mengikut data SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) golongan pengundi berusia 21 hingga 30 tahun ini (pengundi kali pertama) merangkumi 14 peratus sekarang berbanding sembilan peratus pada PRU ke-13, jadi kerajaan perlu berdepan dengan mereka, mendengar kehendak mereka, apa aspirasi mereka agar mereka turut terlibat dalam pembuatan dasar dan keputusan dalam pembangunan negara,” katanya. Bernama