Lelaki tipu wanita, jual tanah milik orang lain RM500,000 di Miri

MIRI: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Miri menangkap seorang lelaki, 36, di sebuah hotel sekitar 8.30 Selasa malam dipercayai menipu wanita dalam urusan pembelian tanah RM500,000 pada awal 2013.

Memetik Utusan Sarawak, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat dalam kenyataannya berkata sebelum ini wanita berkenaan membuat laporan bahawa lelaki tersebut memperdayanya dengan menjual tanah berkenaan yang dikatakan terletak di Kuching.

Bagaimanapun, menurut Khoo, selepas membuat semakan tanah tersebut di pejabat tanah, mangsa mendapati tanah itu bukan milik suspek.

Khoo mendedahkan, mangsa menghubungi suspek untuk berbincang berkaitan perkara tersebut dan suspek berjanji membayar balik wang berkenaan.

Memandangkan suspek gagal menunaikan janjinya, mangsa meminta polis bertindak terhadap lelaki berkenaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.