Ketenteraman awam di Sarawak terkawal – Abang Jo

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yakin tahap keselamatan dan ketenteraman negeri ini dalam keadaan terbaik.

Bercakap selepas mendengar taklimat sempena lawatan kerjanya kepada Ibu Pejabat Polis Kontijen Sarawak dekat sini, beliau berkata aktiviti jenayah di negeri ini dalam keadaan terkawal.

“Secara keseluruhannya, memang keadaan di negeri kita begitu baik dan saya tekankan, kita perlu kekalkan keamanan yang kita kecapi ini.

“Sewaktu lawatan saya ke UK (United Kingdom), kelebihan kita (Sarawak) yang diiktiraf dunia adalah kerana keamanan dan keharmoniannya,” katanya.

Lawatan julung kali itu adalah hasil jemputan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mazlan Mansor untuk mendengar taklimat akan peranan polis dan tahap keselamatan negeri.

Jelasnya, berdasarkan perkembangan terkini di seluruh dunia, Sarawak perlu bersedia untuk menghadapi ancaman jenayah siber.

“Ini yang harus kita lihat secara rasional  selain perlu kepada pendekatan efektif agar  indeks jenayah siber tidak meningkat.

“Pada masa yang sama, kita juga perlu tahu akan teknologi yang akan digunakan untuk menangani perkara ini,” katanya lagi.

Turut dibincangkan adalah kaedah mengawal kemasukan orang luar yang datang ke Sarawak dan mgkin membuat perkara-perkara yang tidak diingini.

“Ini termasuk orang hanyut Sulu yang berada di utara Sarawak.

“Walaupun jumlahnya sangat kecil namun ia boleh menjadi besar jika kita gagal memantaunya,” katanya lagi. – Sarawakvoice