Ekonomi digital: Malaysia boleh melepasi 20 peratus kepada KDNK lebih awal

KUALA LUMPUR: Sumbangan ekonomi digital kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kira-kira 17 peratus sekarang ini, dijangka melepasi unjuran sasaran 20 peratus lebih awal daripada 2020, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau yakin tahap tersebut boleh dicapai lebih awal kerana Malaysia sudah mula melaksanakan pelbagai projek ekonomi digital tahun ini, termasuk pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (ZPBD) pada 22 Mac dan kini Hab Digital Malaysia.

“Malaysia juga boleh memanfaatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan ZPBD adalah kawasan di mana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita boleh mendapat manfaat daripada perkongsian dengan peserta besar seperti Ali Baba.

Gambar fail

“Berdasarkan kadar Digital Economy Corp Sdn Bhd (MDEC) membawa masuk pelaburan, kita boleh mencapainya (sasaran 20 peratus kepada KDNK) lebih awal daripada 2020,” katanya selepas merasmikan Hab Digital Malaysia dan Pogram Usahawan Teknologi Malaysia di sini┬ásemalam.

Mohd Irwan berkata, ekosistem Malaysia untuk pemula niaga adalah kondusif dan berikutan peraturan, dasar dan kemudahan yang disediakan, negara ini menjadi negara kedua teratas untuk melancarkan pemula niaga di dunia.

“Kita sudah mula melihat banyak pemula niaga baharu dilancarkan di Malaysia, manakala pemula niaga yang bermula di negara lain seperti Singapura, kini kembali untuk membina pangkalan mereka di sini,” tambahnya.

Malaysia Digital Hub diperkenal MDEC hari ini menawarkan peluang kepada pemula niaga untuk berkembang ke peringkat global, akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi dan kesambungan gentian optik, peluang pembiayaan dan kemudahan , ekosistem tenaga kerja tersedia, tumpuan secara teknologi dan kemudahan holistik serta pengalaman gaya hidup.

Ia memberi tumpuan kepada empat kategori, iaitu mengembangkan pemula niaga, syarikat teknologi global, pencepat dan pembina bakat serta pelabur.

Antara insentif untuk Hab Digital Malaysia ialah pengecualian cukai korporat untuk pemula niaga teknologi, Program Usahawan Teknologi Malaysia yang mengeluarkan pas untuk individu yang ingin mendiri atau mengembangkan perniagaan mereka ke Malaysia serta akses kepada pembiayaan.

Insentif cukai khas akan memanfaatkan regim cukai sedia ada. Sebarang insentif lain akan diumumkan kemudian.

Tiga hab digital yang diluluskan kerajaan pada masa ini ialah APW, The Co dan Common Ground, semuanya terletak di Lembah Klang. — BERNAMA