Ahok: Jangan sedih, Tuhan yang beri dan ambil kuasa

JAKARTA: Calon Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama  atau Ahok dalam menerima berita kekalahannya, masih dapat berlapang dada dan berjenaka, semalam.

Ahok yang berdepan saingan sengit daripada pasangan lawannya meskipun dilihat tegas, tetapi sebenarnya seorang tokoh yang lucu.

Leluconnya jelas terserlah ketika menyampaikan ucapan selepas mengetahui dia tewas di tangan Anies Baswedan  Sandiaga Uno.

Ahok meminta para  penyokongnya tidak terlalu kecewa dengan  keputusan berkenaan.

“Jangan sedih kerana Tuhan yang memberi dan yang mengambil,” ujar  Ahok  pada sidang media di Hotel Pullman, Jalan M.H Thamrin, Rabu.

“Tak ada seorang pun  memiliki kekuasaan tanpa izin Tuhan,” tambahnya sambil tersenyum.

Para pendukung Ahok sekitar 43 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi ternyata kecewa dengan keputusan itu.

Ahok dan timbalannya Djarot Saiful Hidayat gagal mempertahankan jawatan masing-masing setelah kalah dalam pemilihan pusingan kedua semalam.

Ahok dilihat sebagai Gabenor yang rajin, cekap dan tegas untuk menangani pelbagai isu dan masalah yang melanda ibu kota 11 juta jiwa itu.

Ahok mengimbas balik pengalamannya ketika kalah pada  pemilihan walik kota Belitung Timur pada 2007.

Sama seperti sekarang, Ahok ketika itu meminta penyokongnya supaya tidak bersedih dan kecewa.

Ternyata kemudiannya Tuhan mempunyai perancangan yang lebih baik untuk beliau.

Itulah ketikanya Ahok cuba berjenaka.

“Tuhan selalu tahu yang terbaik, kerana kekuasaan daripada Tuhan. Eh aku jadi Gabenor  Jakarta, kan lebih lumayan he-he-he,” ucap Ahok.

Para penyokong Ahok pecah perut mendengar lawak atau kecindan beliau.

Gabenor Jakarta yang terjebak oleh kontroversi kerana didakwa menista agama itu berjanji untuk terus bekerja cepat bagi baki masa yang ada sehingga Oktober depan.

“Selamat sekali lagi untuk Anies-Sandi dan semua  pendukung, kita semua sama, kita ingin Jakarta baik kerana ini rumah kita bersama,” ujarnya. – Sarawakvoice