Ahok gagal pertahankan jawatan Gabenor Jakarta

JAKARTA: Penyandang jawatan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama  atau Ahok dan timbalannya Djarot Saiful Hidayat gagal mempertahankan jawatan masing-masing setelah tewas dalam pemilihan pusingan kedua semalam.

Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Gabenor Jakarta menunjukkan kemenangan berpihak kepada gandingan Anies Baswedan dan Sandiaga Uno.

Anies – bekas Menteri Pendidikan Indonesia – memenangi antara 55 hingga 60 peratus undi, daripada 80 peratus undi yang telah dikira.

Kira-kira 7.2 juta warga kota ini memilih calon masing-masing dalam pilihan raya itu yang disifatkan penganalisis sebagai ‘paling kotor dan berpuak-puak’

Anies-Sandiaga dipetik oleh media tempatan sebagai berkata mereka akan menyelesaikan masalah yang menimpa Jakarta ketika ini.

Ahok, 50,  dilaporkan mengucapkan tahniah kepada gandingan Anies-Sandiaga yang mengalahkan mereka.

Kedua-duanya juga meminta agar penyokong mereka tetap menjaga perpaduan.

“Jangan sedih kerana Tuhan yang memberi dan yang mengambil. Kami akan bekerja dengan cepat untuk baki enam bulan ini,” Ahok dipetik sebagai berkata.

Februari lalu, Ahok yang didakwa di mahkamah kerana dituduh menista agama Islam memenangi pusingan pertama pengundian.

Beliau mendakwa lawannya mengguna ayat al-Quran untuk menipu pengundi.

Pilihan raya berkenaan dicemari dengan pelbagai insiden termasuk tunjuk perasaan besar-besaran yang disertai lebih 100,000 penduduk Islam.

Pilihan Raya Gabenor Jakarta terpaksa diadakan secara dua pusingan ekoran tiada calon yang melepasi undi majoriti melebihi 50 peratus pada pusingan pertama Februari lepas.

Pusingan kedua ini menyaksikan gandingan Ahok dan Djarot dicabar Anies dan Sandiaga.

Anies, 47, seorang ahli politik muslim berpendidikan tinggi, memanfaatkan kempennya di sebalik sentimen negatif masyarakat terhadap Ahok. – Sarawakvoice

BERKAITAN: Wanita sedia potong payu dara jika Ahok kalah